PELANTIKAN KETUA PENGARAH/ KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA YANG BAHARU

Jenis Dokumen : Siaran Media
No. Rujukan : SM/HQ/2019/244
Tarikh Acara : 01-04-2019
Negeri : WP Putrajaya
Disediakan Oleh : Mazaitul Azwa Abdullah
Email : 890917065496
Tarikh Disediakan : 02-04-2019 04:12 AM
Kemaskini Terakhir :

PEN: 04/2019/03 (JKSM)
 
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengeluarkan Kenyataan Media seperti berikut:
 
KENYATAAN MEDIA
PELANTIKAN KETUA PENGARAH/ KETUA HAKIM SYARIE
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA YANG BAHARU
 
Yang Amat Arif (YAA) Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mula melaksanakan tugas sebagai Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada hari ini.
 
Pelantikan beliau telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mujahid bin Yusof melalui satu kenyataan media menerusi laman Facebook rasmi beliau.
 
Pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim yang telah bersara pada 17 Mac 2019 yang lalu.
 
Yang Amat Arif Prof. Adjung Dato’ Dr. Hj Mohd Naim bin Mokhtar dilahirkan pada 25 November 1967, berumur 51 tahun dan merupakan anak jati Kg Baru Kuala Lumpur, telah berkahwin dengan Datin Hajah Nik Roslini Binti Hj. Raja Ismail dan dikurniakan tiga orang cahayamata.
 
YAA Dato’ Dr Mohd Na’im sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
 
YAA Dato’ Dr Mohd Na’im pernah menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam serta menjadi ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Beliau juga dilantik sebagai profesor adjung oleh Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
 
Kepakaran beliau turut diperakui dunia luar apabila dilantik sebagai Cheavening Felo Pelawat Malaysia di Oxford Centre For Islamic Studies, Universiti Oxford, United Kingdom bagi tahun 2008/2009, Felo Pelawat di Harvard Law School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan berkhidmat di Universiti Harvard pada Februari 2013 sehingga Mei 2013.
 
Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah undang-undang di UIAM pada 1990 hingga 1997 dan selepas itu, beliau menjadi peguam syarie di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan serta menjadi peguambela dan peguamcara Malaya pada tahun 1997 hingga 1998.
 
Beliau juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Daerah Petaling sehingga tahun 2001, Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dari tahun 2001 sehingga 2003 dan menjadi pendakwa syarie kanan di Jabatan Wilayah Persekutuan Agama antara tahun 2007-2008.
 
YAA Dato’ Dr Mohd Na’im juga menganggotai beberapa Lembaga Penasihat Syariah Bank-bank Islam tempatan dan luar negara serta beberapa syarikat takaful.
 
YAA Dato’ juga berharap dapat membina dan memperkukuhkan hubungan yang baik dengan semua pengamal media di masa-masa akan datang. Ini kerana beliau yakin media memainkan peranan yang penting dalam membantu menyampaikan dan menyebarluaskan lagi hasrat dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu institusi sekaligus memberikan impak yang positif terhadap perkembangan perkhidmatan yang ditawarkan.
 
Di kesempatan ini juga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAA Dato’ Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada Jabatan dan Negara sebelum ini.
 
Sekian.
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA
1 APRIL 2019